KUCHING, 12 SEPTEMBER – Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) terus memperkukuh hubungan dengan komuniti Bidayuh di Semenanjung Malaysia menerusi Program Pemerkasaan Adat Bidayuh 1994 Bersama Komuniti Bidayuh di Semenanjung Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh MAIS dibawah Jabatan Premier Sarawak, Program anjuran MAIS dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh Cawangan Klang Valley itu disertai kira-kira 50 peserta daripada komuniti Bidayuh yang menetap di Semenanjung Malaysia.
Ketua MAIS, Datu Dr Neilson Ilan Mersat, yang hadir merasmikan majlis tersebut memberitahu, program itu menjadi platform untuk memperkenal serta memperkukuh kefahaman komuniti Bidayuh terhadap Adat Bidayuh 1994, selain mendapatkan pandangan dan maklum balas berkaitan amalan adat dalam konteks kehidupan masyarakat Bidayuh di luar Sarawak.
MAIS turut menyatakan komitmen untuk meneruskan program outreach seumpama itu bagi memastikan komuniti etnik Sarawak di luar negeri sentiasa mendapat pengetahuan mengenai perkembangan semasa berkaitan kodifikasi dan kajian semula adat natif, sekali gus memastikan adat terus diamalkan dan kekal relevan dalam era moden. - Tamat
Wartawan: Eric
Sumber : UKAS