Datuk Amar Douglas Uggah Terima Kunjungan Hormat MAIS
Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerima kunjungan hormat daripada Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Datu Dr Neilson Ilan Mersat di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.
Kunjungan hormat ini merupakan lawatan rasmi pertama Datu Dr Neilson kepada Timbalan Premier selepas pelantikan beliau sebagai Ketua MAIS yang baharu.
Dalam kunjungan itu, Datuk Amar Douglas Uggah dimaklumkan bahawa bahawa empat draf kajian semula Adat iaitu Adat Iban, Adat Bidayuh, Adet Kayan dan Adet Kenyah telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAGC) untuk tujuan semakan.
Selain itu, Adet Melanau juga dalam peringkat semakan SAGC.
Ini adalah antara usaha MAIS untuk memodenkan Adat agar terus kekal relevan dengan situasi sosial yang dinamik dan moden pada masa kini.
MAIS juga giat menerbitkan buku-buku berkaitan Kajian Semula Adat, Budaya, Tradisi, Sejarah dan Warisan yang menjadi amalan hidup \masyarakat natif di Sarawak.
Setakat ini terdapat 85 Tajuk Buku Terbitan MAIS yang tersedia untuk bacaan dan rujukan awam.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, MAIS sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal Adat natif perlu mengembangkan peranan dalam menyebarluas, memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap budaya, tradisi dan sejarah pelbagai komuniti natif di Sarawak.
Dengan skop yang lebih luas terutamanya dalam menyediakan buku-buku berkaitan dengan Adat, budaya dan tradisi akan memberi manfaat kepada masyarakat umum, Pemimpin dan Ketua-Ketua masyarakat, Wakil-Wakil Rakyat serta generasi muda.
Beliau menambah supaya jawatan kosong di MAIS yang melibatkan Seksyen Penyelidikan Adat diisi dengan segera dengan pegawai-pegawai dari kalangan etnik berpengalaman dalam bidang yang berkaitan.
Datu Dr Neilson turut menjemput Datuk Amar Douglas Uggah untuk merasmikan Simposium Adat Iban 2026 yang akan dianjurkan oleh MAIS pada penghujung September 2026 di Sibu.
Simposium ini bertujuan untuk memperkasa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum terutamanya Pemimpin Masyarakat Iban mengenai pengiktirafan dan kedudukan Kuasa Adat di bawah Ordinan dan Perundangan Negeri yang sedang dikuatkuasakan.
Turut hadir ialah Setiausaha MAIS, Elsie William dan pegawai-pegawai kanan Majlis Adat Istiadat Sarawak.-EDISI UKAS