KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak kini giat memodenkan Adat bagi menyesuaikannya dengan hubungan sosial dan hal Ehwal komuniti masa kini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pemodenan Adat perlu kerana banyak adat tradisional berasal daripada kepercayaan, adat resam, amalan dan peraturan kerohanian kuno, oleh itu ia tidak selalunya sesuai sepenuhnya bagi mengawal selia hubungan sosial dan hal ehwal komuniti masa kini.
“Pemodenan Adat memberi tumpuan kepada tiga pendekatan utama, iaitu pentafsiran semula, peningkatan dan pembuatan peruntukan baharu.
“Ini melibatkan pemeriksaan tujuan dan rasional asas Adat tradisional dari perspektif kontemporari, menambah baik amalan sedia ada dan untuk mengurangkan sebarang kekerasan atau kesan negatif yang timbul daripada aplikasinya serta membuat peruntukan baharu untuk mengisi jurang dalam Adat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Sikie berkata, semakan ke atas Adat Iban 1993, Adat Bidayuh 1994 dan Adet Kayan-Kenyah 1994 kini di peringkat akhir.
Manakala Adet Kayan-Kenyah 1994 telah dibahagikan dan disemak secara berasingan, tambahnya.
“Berkenaan dengan Adat Iban, draf Adat Iban telah disahkan oleh semua temenggung komuniti Iban pada 27 Februari 2026 di Sibu.
“Manakala bagi Adat Bidayuh, draf tersebut telah disahkan oleh pemimpin komuniti Bidayuh pada 30 April 2026 di Serian.
“Begitu juga, bagi Adet Kenyah dan Adet Kayan, draf tersebut juga telah disahkan oleh pemimpin komuniti masing-masing pada 15 April 2026 dan 16 April 2026 di Miri,” jelasnya.
Dengan itu ujarnya, draf Adat Iban, Adat Bidayuh, Adet Kenyah dan Adet Kayan kini telah disahkan oleh ahli-ahli semasa Mesyuarat Ahli-ahli Majlis, Majlis Adat Istiadat Sarawak pada 6 Mei 2026.
“Draf-draf tersebut kini sedia untuk dihantar ke Jabatan Peguam Negara Negeri (SAGC) untuk semakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sikie berkata MAIS telah memulakan kerja-kerja kodifikasi Adet Punan dengan bengkel pertama mengenainya telah diadakan pada April tahun ini di Bintulu, menandakan langkah penting ke arah pendokumentasian dan pemeliharaan Adat dan tradisi masyarakat Punan di Sarawak.
Bengkel itu menurutnya, telah mengumpulkan pemimpin masyarakat, wakil Persatuan Kebangsaan Punan dan pegawai dari Pejabat Daerah Belaga, Sebauh dan Tatau untuk membincangkan prinsip-prinsip asas Adet Punan, termasuk tadbir urus adat dan amalan tradisional yang terus diamalkan kini.