
KUCHING: Temenggung Nelson Kloni Kanang mencadangkan agar penduduk yang menetap di bandar dan pekan dibenarkan dikebumikan di tanah perkuburan rumah panjang atau kampung asal masing-masing berikutan kos pengebumian yang semakin tinggi di kawasan bandar.
Beliau berkata, cadangan itu dimasukkan dalam Adat Iban baharu yang disemak semula oleh Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) melalui peruntukan yang membolehkan masyarakat Iban yang tinggal di bandar mendaftar sebagai ahli rumah panjang atau penduduk kampung bagi melayakkan mereka dikebumikan di tanah perkuburan kawasan berkenaan.
“Setelah berdaftar sebagai ahli rumah panjang atau kampung, mereka perlu mematuhi syarat dan peraturan yang dipersetujui.
“Ini penting supaya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat menerima si mati,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak anjuran Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Cawangan Kuching di sini, malam Sabtu.
Nelson berkata, cadangan MAIS itu kini masih menunggu penelitian Peguam Besar Negeri sebelum mendapat kelulusan Kabinet Sarawak.
Menurutnya, tanah perkuburan sedia ada di Kuching dan Siburan kini sama ada telah penuh atau sesak manakala kawasan baharu untuk dijadikan tanah perkuburan semakin terhad.
“Kekurangan kawasan perkuburan serta kos yang terlalu tinggi menjadi kebimbangan besar kepada masyarakat Iban dan komuniti Dayak yang menetap di kedua-dua daerah ini.
“Sebagai contoh, satu lot tanah perkuburan di Tanah Perkuburan Gereja St Paul, Siol Kandis berharga RM4,000 manakala di Tanah Perkuburan Anglican Prutan, Siburan pula mencecah RM8,000,” katanya.