
SIBURAN: Sambutan Pra-Gawai menjadi medium penting dalam mempertahankan warisan budaya Dayak serta memelihara keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang menjadi teras kestabilan dan perpaduan di Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, sambutan Gawai bukan sekadar perayaan tahunan tetapi simbol identiti dan jati diri masyarakat Dayak yang perlu terus dipelihara serta diwarisi generasi muda.
“Warisan budaya, bahasa dan pakaian tradisional adalah asas jati diri masyarakat Dayak dan perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Pra-Gawai 2026 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Gong Lama di Dewan Masyarakat Siburan, malam Sabtu.
Dr Jerip yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menambah, usaha komuniti menampilkan persembahan kebudayaan lengkap dengan pakaian tradisional, tarian dan adat resam mencerminkan komitmen berterusan dalam memartabatkan identiti etnik di Sarawak.
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan memperkasa bahasa ibunda menerusi sistem pendidikan termasuk pengajaran bahasa Iban di sekolah serta usaha memperkenalkan bahasa Bidayuh mengikut dialek tempatan.
Ujarnya, Sarawak kekal menjadi contoh terbaik keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama apabila setiap perayaan diraikan bersama tanpa mengira latar belakang.
“Perpaduan adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri. Dengan semangat segulai sejalai, kita mampu membina masa depan yang lebih baik untuk semua,” jelas beliau.
Sebagai tanda sokongan kepada pembangunan komuniti, Dr Jerip turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada JKKK Kampung Batu Gong Lama bagi melaksanakan aktiviti kebajikan dan pembangunan penduduk.