MIRI: Pelbagai topik berkaitan adat bumiputera Sarawak termasuk Adat Iban 1993, Adat Bidayuh 1994, Adat Kayan-Kenyah 1994, Adat Bisaya 2004, Adat Penan 2011 serta adat Melanau menjadi antara pengisian utama Seminar Adat Zon Utara 2025 di sini, pada Jumaat.
Seminar anjuran Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) selama dua hari itu turut memberi tumpuan kepada aspek pengurusan tanah adat berasaskan Land Code (Amendment) 2018, selain memperkenalkan konsep pembangunan adat natif Sarawak.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap fungsi dan peranan MAIS, di samping menekankan kerelevanan adat dalam kehidupan moden, terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, dengan kehadiran ratusan peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan wakil komuniti setempat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, Ketua MAIS, Datu Ronnie Edward, Setiausaha MAIS, Mackos Sibong serta Pegawai Daerah Miri, Siti Rohanie Yusof yang mewakili Residen Bahagian Miri.-EDISI UKAS