KUCHING: Meskipun masa persiapan agak singkat berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri baru sahaja berlalu, pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi memastikan sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 berjalan dengan penuh meriah dan bermakna.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata, jawatankuasa induk sambutan Gawai Dayak 2025 yang bermesyuarat petang semalam telah menyelaras dan membincangkan persediaan pelbagai program melibatkan seluruh lapisan masyarakat.
“Masa sangat singkat, kita baru sahaja selesai menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Gawai pula semakin hampir.
“Hari ini, kami telah membincangkan secara terperinci pelbagai pendekatan yang akan kami lakukan untuk menganjurkan sambutan Gawai Dayak 2025,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2025 di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Uggah berkata, antara acara utama yang dirancang termasuk Bazar Gawai Dayak di MJC Batu Kawa dari 15 hingga 25 Mei dan Perarakan Gawai Dayak di Tebingan Kuching pada 21 Jun, yang menampilkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai tetamu kehormat.
Turut diadakan, Karnival Gawai Tradisi pada 13 dan 14 Jun di Bangunan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) Miri.
“Sambutan turut menampilkan rumah terbuka Gawai Dayak pada 1 Jun di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang terbuka kepada orang ramai.
“Acara kemuncak adalah Majlis Makan Malam Gawai Dayak di BCCK pada 22 Jun, yang akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Uggah menambah, majlis pelancaran Buku Coffee Table bertemakan budaya dan warisan masyarakat Dayak juga akan diadakan sempena sambutan ini.
Penganjuran Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 bertemakan ‘Segulai, Sejalai’ ini katanya, diharap dapat memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum serta memperkenalkan kekayaan budaya Sarawak.
Hadir sama pada sidang media Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur dan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai.