Gawai Dayak Coffee Table Book 2024 dokumentasi warisan budaya, sejarah perayaan Gawai

Posted on 28 Mar 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Buku Gawai Dayak Coffee Table Book 2024 telah dilancarkan secara rasmi bagi mendokumentasikan warisan budaya dan sejarah perayaan Gawai Dayak untuk tatapan generasi akan datang.

Demikian kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, malam semalam.

Beliau pada masa yang sama menyifatkan buku tersebut sebagai pencapaian penting dalam memastikan semangat Gawai terus dihayati dan diwarisi.

“Buku ini bukan sekadar koleksi gambar tetapi satu penghormatan kepada tradisi, dokumentasi budaya dan legasi untuk masa depan,” katanya semasa Majlis Apresiasi Gawai Dayak 2024 dan pelancaran buku berkenaan malam semalam.

Beliau menekankan bahawa Gawai bukan sekadar perayaan tetapi juga melambangkan warisan, perpaduan dan kebanggaan masyarakat Dayak.

Buku ini akan menjadi rujukan penting bagi generasi muda dalam memahami budaya dan sejarah Gawai, tegasnya.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantaun Projek) Datuk Gerawat Gala.

Juga Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin serta beberapa pemimpin tempatan yang lain.