Forum lantik Impact Design bangunkan Galeri Budaya Orang Ulu di Pusat Kebudayaan Orang Ulu

Posted on 20 Mar 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

MIRI: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (Forum) telah melantik sebuah syarikat tempatan, Impact Design Associates Sdn Bhd untuk membangunkan Galeri Budaya Orang Ulu di Pusat Kebudayaan Orang Ulu milik persekutuan itu di Jalan Padang Kerbau di sini.

Forum dalam satu kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan bahawa majlis menandatangi perjanjian antara presidennya, Kennedy Chukpai Ugon dan pengarah urusan Impact Design Associates, Ho Min Yung telah diadakan di Kuching pada Rabu.

Majlis itu telah disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.

"Pembangunan Galeri Budaya Orang Ulu di bangunan Forum dapat direalisasikan menerusi peruntukan tambahan yang diberikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa kunjungan hormat oleh jawatankuasa pembangunan bangunan Forum pada 3 Disember tahun lalu yang diketuai oleh Datuk Gerawat Gala.

"Abang Johari telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk pembangunan Galeri Orang Ulu, penambahan tempat letak kenderaan serta kerja-kerja  pengubahsuaian dewan bankuet di bangunan itu," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, majlis pembukaan rasmi bangunan tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Premier pada suku ketiga tahun ini.