BINTULU: Setiap tuai rumah yang merupakan pemimpin di rumah panjang harus mempunyai integriti yang tinggi serta bersikap adil kepada penduduk yang berada di bawah jagaannya, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata, tuai rumah mempunyai peranan penting dalam menentukan kemajuan dan kejayaan sesebuah rumah panjang.
"Pada masa sama, mereka harus mempunyai kebijaksanaan menyelesaikan beberapa isu atau permasalahan yang berlaku," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Perasmian Pagar Konkrit Baru dan Biro Wanita Rumah Juki di Batu 15 Jalan Selangau-Mukah, hari ini.
Selain itu katanya, sikap jujur, berintegriti dan memimpin tanpa pilih kasih membuatkan setiap tuai rumah sentiasa dihormati dan mendapat kepercayaan penduduk untuk terus memimpin.
Ini kerana tuai rumah jelasnya merupakan penghubung antara rakyat dan kerajaan.
"Bagi tujuan itu tuai rumah harus memastikan segala maklumat penting berkaitan polisi kerajaan serta bentuk bantuan yang boleh dipohon hendaklah dimaklumkan oleh setiap tuai rumah kepada penduduk jagaan masing-masing," jelasnya.
Menyentuh mengenai Mid Rejang Regional Development Agency (MiRRDA), pelbagai projek pembangunan insfastrukur dan ekonomi serta sosial telah dirancang melalui beberapa maklmal yang telah diadakan.
Antaranya menurut Sikie ialah bagi kawasan ini, projek pembinaan jalan kebun akan dilaksanakan bagi memudahkan penduduk rumah panjang mengusahakan tanah mereka.
Dalam pada itu ujarnya, projek tanaman kelapa sawit dan kopi merupakan antara projek yang akan dilaksanakan di bawah MiRRDA bagi meningkatkan tahap pendapatan penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, Sikie mengumumkan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM40,000 kepada JKKK Rumah Juki dan RM7,000 lagi kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada dua tuai rumah yang telah bersara, sijil lantikan baharu kepada dua tuai rumah yang baru dilantik dan 14 lagi kepada tuai rumah menerima sijil pelanjutan.