KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan keyakinannya terhadap generasi muda sebagai peneraju masa depan Sarawak selepas era Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) tamat pada 2030.
Beliau yakin bahawa generasi pelapis negeri ini berupaya meneruskan dasar-dasar yang telah dibina, malah bersedia menyesuaikan Sarawak dengan cabaran baharu dunia yang semakin kompleks.
Ini katanya, termasuk keupayaan untuk membaca perubahan global, menyesuaikan dasar tenaga dan memanfaatkan sumber negeri dengan lebih strategik.
“Ada lima tahun lagi sebelum 2030, tetapi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti ada pemimpin pelapis untuk memastikan kesinambungan dan kemajuan negeri.
“Selepas PCDS 2030 juga, apa yang akan berlaku, saya serahkan kepada anda iaitu generasi muda; anda adalah pelapis yang akan mengorak langkah membawa Sarawak ke era baharu yang lebih mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada salah seorang mahasiswa dari Politeknik Kuching yang bertanya mengenai hala tuju negeri selepas tamatnya PCDS pada 2030, dalam sesi Townhall 8 Tahun bersama YAB Premier Sarawak di Hikmah Exchange pada malam tadi.
Dalam mengakui anak muda Sarawak mempunyai berbakat besar dalam memacu pembangunan negeri, Abang Johari menegaskan bahawa bakat ini hanya akan dapat digunakan dengan sebaik mungkin sekiranya ekonomi dan pendidikan diperkasakan.
“Banyak anak Sarawak yang pintar memilih untuk bekerja di luar negara kerana ekonomi kita tidak sesuai dengan apa yang mereka pelajari.
“Justeru, kita mesti tingkatkan ekonomi ke satu tahap sehingga membolehkan anak Sarawak yang bijak ini kembali dan berkhidmat,” katanya.
Abang Johari menambah, kerajaan GPS berusaha menyediakan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan negeri kerana beliau yakin langkah ini akan melahirkan generasi pelapis yang berkualiti, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.
Menyedari potensi anak Sarawak, beliau turut berkongsi pengalamannya memberikan dermasiswa kepada pelajar daripada keluarga kurang mampu di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), yang akhirnya berjaya dalam jurusan strategik seperti kejuruteraan dan kewangan.
“Saya berikan bursary (dermasiswa), rupa-rupanya, mereka mengambil jurusan strategik seperti kewangan, perakaunan, dan kejuruteraan, dan mereka lulus.
“Apabila terdapat majlis konvokesyen sekitar dua tahun lepas, seorang ibu dan bapa berjumpa saya dan menzahirkan ucapan 'Terima kasih YAB, kalau tidak ada bursary, mungkin anak saya bukan seorang jurutera dari kampung’.
“Rentetan itu, saya bertekad untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak yang melanjutkan pelajaran di universiti negeri menjelang 2026, sebagai usaha untuk memperkasa generasi muda Sarawak dan seterusnya meningkatkan peluang ekonomi,” katanya.