News

 

Sarawak model cemerlang perpaduan negara: Aaron

Posted on 14 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

Oleh Patricia Gari

KUCHING: Sarawak merupakan model cemerlang perpaduan negara yang dicapai melalui penghargaan dan pemeliharaan kepelbagaian, kata Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang.

Menurutnya, berpegang kepada tiga konsep perpaduan utama iaitu faham, hormat dan terima, rakyat Sarawak yang terdiri daripada 27 kumpulan etnik termasuk Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan Melayu telah berjaya mencipta keharmonian serta keseimbangan dalam kalangan rakyat.

Katanya, di Sarawak kurang ketegangan antara kaum berbanding di Semenanjung Malaysia kerana kefahaman dalam kalangan rakyatnya yang berbilang kaum amat tinggi dicapai menerusi dialog dan kerjasama.

"Sarawak menekankan pentingnya dialog antara komuniti. Pelbagai forum, majlis dialog dan mesyuarat antara pemimpin masyarakat dilaksanakan untuk menyelesaikan sebarang isu dan pada masa sama, mempromosikan kerjasama antara etnik.

"Ini membantu membina kepercayaan dan mengukuhkan hubungan antara kaum," ujarnya dalam satu temu bual khas bersama Utusan Borneo, baru-baru ini.

Aaron berkata, perkara paling penting yang menyuburkan lagi perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum Sarawak ialah sokongan dan polisi inklusif dilaksanakan kerajaan negeri.
Kerajaan Sarawak katanya, mempunyai dasar dan polisi yang menyokong keharmonian sosial termasuk dalam ekonomi, sosial dan politik.

"Salah satu langkah ke hadapan penting diambil oleh Kerajaan Sarawak ialah pemberian geran atau bantuan kepada badan agama-agama lain menerusi UNIFOR (Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain). Saya difahamkan hampir RM12 juta telah disalurkan menerusi UNIFOR.

"Ini tidak pernah berlaku atau ada di Semenanjung Malaysia tetapi di sini (Sarawak), kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi membantu badan-badan agama lain membina, membaik pulih rumah-rumah ibadat dan sekolah mubaligh, dulu tidak ada.

"Di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, UNIFOR telah memainkan peranannya hampir lima tahun. Keterangkuman amat jelas di sini," katanya.

Apa yang dilakukan Kerajaan Sarawak menerusi dasar dan polisi yang adil serta inklusif menyebabkan semua pihak gembira, secara tidak langsung menyuburkan lagi perpaduan serta keharmonian, tambah beliau.

Di Sarawak juga katanya, semua perayaan dan majlis diraikan bersama oleh semua kaum.
"Dalam banyak acara besar, rakyat Sarawak akan berkumpul tanpa mengira latar belakang etnik untuk meraikan kejayaan dan kemajuan bersama.

"Konsep 'Segulai Sejalai' yang wujud sekian lama di negeri ini telah berjaya membentuk kestabilan dan keharmonian sekali gus menjadikan Sarawak model perpaduan terbaik di Malaysia," tegasnya.

Selain itu katanya, masyarakat Sarawak sentiasa mengutamakan sikap toleransi etnik, budaya dan agama, maka tidak hairanlah Kuching digelar Bandar Perpaduan, menyaksikan aktiviti sosial dan ekonomi berbentuk inter dan intra etnik.

Keadaan itu katanya, menyebabkan jurang ekonomi dilihat tidak ketara, mewujudkan ketidakcemburuan ekonomi dalam kalangan masyarakat.

"Budaya, interaksi harian silang budaya dan budaya lokal yang wujud sejak turun-temurun menjadikan ikatan emosi dan sejarah telah melahirkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

"Uniknya negeri Sarawak berpunca daripada rakyatnya sendiri kerana acuan ini dibentuk secara alami dan bukannya secara aturan. 

Yayasan Sukarelawan Siswa

Dalam temu bual khas itu, Aaron turut menyentuh kejayaan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dalam menyubur dan memperkukuhkan perpaduan negara sejak ditubuhkan pada 2012.
Menerusi YSS, agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN), seramai 1,797 pemimpin sukarelawan berjaya dilahirkan dengan 60 misi sukarelawan berimpak tinggi dan lebih 8,000 projek peringkat komuniti dijalankan.

Menurut Aaron, YSS mempunyai visi untuk menjadi hab global kepimpinan sukarelawan siswa ke arah perpaduan negara.

Seiring dengan matlamat melahirkan pemimpin sukarelawan berimpak tinggi, salah satu aktiviti utama YSS ialah menjalankan misi sukarelawan di dalam dan luar negara, katanya.

"Ini adalah kumpulan siswa yang diletakkan di bawah YSS, objektif utama ialah kesukarelawan, kita ada pelajar universiti yang mengikuti program ini, mereka dihantar ke kawasan pedalaman dan terpencil bagi melakukan kerja-kerja sukarelawan secara bergotong-royong. 

"Baru-baru ini, YSS telah menjalankan Misi Sukarelawan Siswa ke Vietnam untuk melihat keadaan kehidupan di sana dan terlibat bersama-sama penduduk tempatan dan pelajar IPT di situ menjalankan aktiviti ekonomi, membaik pulih rumah, jalan dan sebagainya selama sebulan," katanya.

Bagi Misi Sukarelawan Siswa dalam negara katanya, seramai 100 orang Sukarelawan Siswa kini sedang menjalani Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah di enam daerah. Mereka menjalankan misi tersebut sejak 1 September lalu hingga 18 September ini.

Selain itu katanya, YSS juga akan mengadakan Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak, Labuan, Kedah dan Kelantan pada tahun ini. 
"Sekarang kita sudah ada 50 orang Duta Perpaduan, dilantik dalam kalangan alumni sukarelawan yang layak. Ini bagi menggalakkan aktiviti sukarelawan dalam kalangan komuniti, seterusnya menyemarakkan semangat 'Kesukarelawanan Tunjang Perpaduan.'

“Saya melihat YSS harus diberi fokus yang lebih besar kerana sukarelawan ini adalah wadah perpaduan yang sebenar kerana ia berfungsi sebagai jambatan menghubungkan pelbagai latar belakang, budaya dan komuniti.

"Kita berharap program melibatkan YSS dapat diperbanyakkan. Kenapa saya katakan begini? Ia bukan sahaja untuk menghantar siswa-siswa ke kawasan di mana mereka dapat melibatkan diri dalam aktiviti bersama penduduk setempat, tetapi memberi tuisyen percuma kepada pelajar di luar bandar yang bakal menduduki peperiksaan awam.

"Tuisyen percuma ini sangat popular dan kita mahu ia diteruskan dalam skala yang lebih besar tetapi sudah tentu kewangan menjadi kekangan kita.

"Tahun lepas kita diberi peruntukan kira-kira RM500,000 dan kita berharap jumlah yang lebih besar akan diberikan tahun depan supaya lebih ramai pelajar sekolah akan mendapat manfaat," katanya.

Dalam merancakkan lagi bidang kesukarelawanan katanya, KPN memperkenalkan beberapa cara yang berfungsi sebagai platform perpaduan melalui penganjuran program-program sukarela seperti projek kebajikan, acara amal dan aktiviti kemasyarakatan.

Aaron berkata, aktiviti-aktiviti seperti itu akan membantu meruntuhkan dinding perbezaan dan membina semangat kesamaan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang sosial.

"Kementerian juga menggalakkan interaksi dan pertukaran budaya dengan melibatkan penyertaan individu pelbagai budaya dan etnik. Mereka yang terlibat tidak hanya menyumbang tenaga, tetapi bertukar pengetahuan dan pengalaman. 

"Pertukaran ini memperkaya pemahaman antara satu sama lain dan memupuk rasa hormat. Seperti saya katakan tadi, perpaduan menekankan konsep faham, hormat dan terima," katanya.

Antara usaha lain dilaksanakan KPN ialah mewujudkan kesedaran sosial dalam menyelesaikan isu-isu sosial dan kebajikan dalam masyarakat, membina rasa kepunyaan serta identiti bersama.

Di Malaysia terdapat pelbagai badan sukarelawan seperti YSS, MyCorps, Rakan Muda, Impact Malaysia dan sebagainya. Sehingga kini, tiada sebarang dasar khusus bagi bidang kesukarelawan di negara ini.

Sehubungan dengan itu, KPN sedang meneliti untuk mewujudkan Dasar Kesukarelawan Nasional. Antara perkara yang akan disentuh adalah:
 
⦁    Pengiktirafan Kesukarelawan: Mengiktiraf peranan kesukarelawan dalam pembangunan masyarakat melalui dasar yang menetapkan kepentingan dan sokongan kerajaan terhadap aktiviti sukarela.
⦁    Majlis Koordinasi: Menubuhkan majlis untuk menyelaras dan memantau semua aktiviti sukarelawan, memastikan pengagihan sumber yang adil dan berkesan.
⦁    Platform Koordinasi: Mengembangkan platform digital untuk memudahkan koordinasi antara sukarelawan dan organisasi yang memerlukan bantuan.
⦁    Sistem Pemantauan: Menyediakan sistem untuk memantau dan menilai keberkesanan aktiviti sukarela serta impaknya terhadap masyarakat.
⦁    Standard dan Garis Panduan: Menyediakan standard dan garis panduan yang jelas mengenai pengurusan sukarelawan, termasuk etika, keselamatan, dan tanggungjawab.
⦁    Akreditasi: Mewujudkan sistem akreditasi untuk organisasi yang melibatkan sukarelawan bagi memastikan mereka mematuhi standard yang ditetapkan.
⦁    Insurans: Menyediakan insurans yang meliputi kecederaan atau kemalangan semasa sukarelawan menjalankan tugas mereka.
⦁    Garis Panduan Keselamatan: Menyediakan garis panduan keselamatan yang jelas untuk melindungi sukarelawan semasa terlibat dalam aktiviti di lapangan.
 
Kesimpulannya, kesukarelawan bukan hanya tentang memberikan bantuan tetapi juga tentang membina perpaduan. Ia adalah cara yang berkesan untuk menghubungkan individu, merapatkan jurang antara pelbagai latar belakang, dan membina masyarakat yang lebih harmoni.