News

 

Tubuh pusat perkasa Bahasa Iban antara resolusi Simposium Bahasa Iban dan Kraftangan 2024

Posted on 03 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

MIRI: Kerajaan Sarawak disaran untuk menubuhkan Pusat Pengembangan Bahasa Etnik dan Kemajuan Budaya bagi mengembangkan dan memperkasakan lagi martabat Bahasa Iban.

Usul itu merupakan satu daripada tujuh usul untuk Resolusi Bahasa Iban yang diserahkan kepada kerajaan Sarawak sempena dengan Simposium Jaku Iban & Pengelandik Jari (Simposium Bahasa Iban dan Kraftangan) 2024 Peringkat Negeri Sarawak yang berakhir pada Sabtu. 

Manakala tiga lagi ialah usul bagi Resolusi Kraftangan. 

Enam usul lain dalam resolusi berkenaan, kedua turut meminta Kerajaan Sarawak supaya menyediakan Unit Untuk Bahasa Lain (UNIFOL) di Sarawak. 

Ketiga menyemak semula buku Sistem Bahasa Iban di Sekolah yang diterbitkan pada 2009 agar relevan dengan sistem bahasa Iban yang baharu, keempat menubuhkan jawatankuasa penambahbaikan Buku Sistem Bahasa Iban di sekolah-sekolah semaksimum mungkin kerana buku sedia ada dicetak sejak 15 tahun lalu dan tidak pernah disemak semula.

Dr Penguang (kanan) menyerahkan Resolusi Simposium Bahasa Iban dan Kraftangan 2024 kepada Sikie.
Dr Penguang (kanan) menyerahkan Resolusi Simposium Bahasa Iban dan Kraftangan 2024 kepada Sikie.

Kelima memasukkan dalam aktiviti takwim Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pertandingan, permainan tradisi berkaitan Bahasa Iban untuk menggalakkan dan meningkatkan kecintaan generasi muda terhadap sastera Iban, keenam menambah pengambilan program Sarjana Muda Pengajian Bahasa Iban di Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada 100 orang setiap pengambilan bermula dari pengambilan 2025-2030 untuk menyahut cabaran kekurangan guru bahasa Iban dan usul ketujuh mengadakan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Iban di UNIMAS dengan seberapa segera.

Sementara tiga usul dalam Resolusi Kraftangan ialah pertama menubuhkan Pusat Pengumpulan untuk peniaga kraf tangan
tangan, hasil pertanian dan sebagainya bagi membantu golongan peniaga yang mahu memasarkan hasil dan produk mereka. 

Kedua mengusulkan kepada kerajaan Sarawak untuk memberikan gelaran 'Datuk' kepada mereka yang telah mendapat pengiktirafan daripada badan dunia dan antarabangsa seperti pakar penenun pua kumbu kaum Iban, Bangie Embol yang kepakarannya diiktiraf oleh badan dunia, UNESCO. 

Ketiga menubuhkan Pusat Kraftangan di semua daerah di Sarawak untuk mengumpul dan menjual produk kraftangan.

Kesemua usul dalam resolusi berkenaan telah diserahkan oleh jawatankuasa simposium yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil kepada tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai. 

Sikie mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk merasmikan majlis penutupan simposium itu di sini pada Sabtu.

Simposium itu yang berlangsung pada 2 dan 3 Ogos di Miri telah dihadiri 400 peserta dari seluruh negeri. 

Beliau berkata, akan menyerahkan resolusi itu kepada kerajaan Sarawak menerusi Uggah, untuk dipertimbangkan.

"Kita berharap kesemua resolusi ini akan disemak dan dipertimbangkan serta seboleh mungkin diluluskan," katanya. 

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan kraf tangan tradisi kaum Iban iaitu, pertandingan anyaman tikar, 'marek empang', 'sugu tinggi', terabai dan tenunan tradisional Iban.