News

 

Bengkel Adet Malanau diadakan dengan jayanya, disertai lebih 30 peserta

Posted on 28 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Bengkel Adet Malanau yang memfokus kepada upacara pertunangan dan perkahwinan kaum Melanau Kristian dan Likou telah diadakan dengan jayanya baru-baru ini dengan lebih 30 peserta terdiri daripada penjawat awam, swasta dan pesara mengambil bahagian.

Penolong Pegawai Penyelidikan Seksyen Melanau, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) John Ling berkata, bengkel anjuran majlis itu juga bertujuan memartabatkan budaya bangsa komuniti itu di daerah Mukah dan Dalat.

Semasa bengkel itu beliau berkata para peserta membanding dan merumus beberapa penemuan atau perkara yang boleh dan tidak boleh dipraktikkan dalam amalan asal meski pun lokasi majlis tersebut jauh dari adat asal.

“Hasil daripada bengkel ini akan dianalisis dan dirumus secara lebih terperinci agar adat yang akan digunakan nanti bersesuaian dengan lokasi komuniti Melanau berada, iaitu yang jauh dari Mukah sebagai tempat asal adat itu dipraktikkan.

“Tujuan bengkel ini juga adalah untuk jawatankuasa yang akan mengendali adat kahwin Melanau di Kuching nanti,” jelas Ling dalam satu kenyataan semalam.

Semasa bengkel itu juga para peserta telah mengupas beberapa perkara tentang pendaftaran, pengesahan dan perceraian dalam adat perkahwinan mengikut adat sesuatu kaum termasuk mencari resolusi bagaimana menyesuaikan adat kahwin Melanau dengan perkembangan dunia masa kini. 

Kaum Melanau Mukah dan Dalat misalnya, masih melestari adat perkahwinan kerana ‘Adet Kawin Melanau’ mempunyai nilai estetika budaya yang sangat signifikan dalam kebudayaan kaum Melanau Kristian dan Likou. 

Perbincangan interaktif tentang beberapa perkara dalam rukun kahwin Melanau bagi mencapai satu resolusi untuk dipraktikkan sesuai dengan situasi, lokasi serta perkembangan masa kini dan adat tersebut perlu penyesuaian. 

Sementara itu Pegawai Khidmat Korporat MAIS Angela Geruna yang juga penceramah bengkel berkata,  beberapa kaum peribumi Sarawak telah mempunyai undang-undang bertulis dan adat resam sendiri yang telah diiktiraf tentang perkahwinan dan perceraian yang boleh diurus oleh ketua masyarakat sesuatu kaum itu sendiri. 

Lian Kaliew, antara peserta pula berpendapat, bengkel itu amat sesuai sekali dilaksanakan oleh MAIS bagi melestari  adet kahwin Melanau meskipun ramai anak-anak Melanau telah berkahwin campur dan berhijrah ke bandar dan tidak tinggal di kawasan majoriti Melanau.

Bagi Galidas Galau, bengkel itu memberi pendedahan dan pengalaman tentang terma-terma dalam adat serta membandingkan penggunaan adat yang dipraktikkan di Mukah, Miri dan Kuching.

“Bagi saya, bengkel seperti ini sangat perlu dilaksanakan lagi bagi topik-topik yang berkaitan dengan adat Melanau agar generasi Melanau dapat mengetahui kegunaan adat tersebut dalam kehidupan,” ujarnya. 

Antara yang turut hadir pada bengkel tersebut ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Fridah Osman, Robinson Benedict serta para penceramah daripada MAIS.