News

 

Usaha kekalkan adat tradisi pelbagai kaum sentiasa disokong: Yii

Posted on 13 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

MIRI: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan terhadap usaha mengekalkan adat tradisi pelbagai kaum agar dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii berkata, sokongan terbabit turut diberi kepada etnik minoriti Berawan.

"Difahamkan kaum Berawan merupakan antara kumpulan kecil yang dianggarkan hampir 7000 orang yang terdapat di daerah Baram dengan 17 kampung, di mana lima kampung terdapat di Sungai Tutoh dan 12 lagi di Sungai Tinjar.

"Justeru, apa sahaja usaha murni untuk mengekalkan kaum tersebut agar boleh diturunkan kepada generasi akan datang amat disokong.

"Malah, kerajaan sentiasa prihatin dan memberi peluang serta bantuan dalam merealisasikan semua impian masyarakat tidak kira sama ada Berawan atau kaum lain secara keseluruhannya," ujarnya.

Yii yang juga Datuk Bandar Miri berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Khasnya Kelvin Hii pada Majlis Pelancaran Buku Glosari Komparatif Bahasa Berawan di sini, petang Sabtu.

Menurut Yii, pelancaran buku terbabit merupakan satu usaha murni dan gigih dilakukan dalam konteks mengekal serta memartabatkan bahasa Berawan yang selama ini hanya dalam bentuk tradisi lisan dan kini boleh digunakan dalam bentuk penulisan serta adanya hitam putih dalam penulisan moden.

"Syabas dan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Pengelola Majlis kerana telah bekerja keras dan begitu komited mahu menjayakan program pelancaran buku ini.

"Msyarakat dan ketua-ketua kaum Berawan juga amat penting memainkan peranan menyebarluaskan penggunaan bahasa Berawan yang pelbagai serta unik ini.

"Pastinya, terima kasih serta penghargaan kepada penyelidik bahasa dan linguistik seperti Dr Jurgen Martin Burkhart yang dapat bekerjasama dengan masyarakat Berawan dalam membangunkan bahasa mereka, dan saya percaya ini adalah usaha sama yang akan berterusan,” katanya.

Pada masa sama, Yii mengucapkan tahniah kepada Persatuan Berawan Sarawak atas inisiatif dan komitmen dalam memperkenalkan kaum minoriti tersebut kepada masyarakat setempat.

"Antaranya memberi galakan dan motivasi, insentif serta panduan kerjaya kepada generasi muda Berawan agar berjaya dalam bidang akademik serta kerjaya yang diceburi.

"Selain itu, persatuan ini juga membawa suku Berawan bergabung secara sosial dan berkongsi idea-idea baharu agar dapat memberi kesedaran dalam pelbagai aspek untuk diperkembangkan sama ada dalam kemahiran mahupun perniagaan," katanya.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan Berawan Sarawak merangkap Pengerusi Pengelola Markus Abdon Ajang, Pensyarah dan Penyelidik Bebas Unit Trust Consultant & Life Coach Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak Coretta Herliana Kura, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Tinjar Deo Keneth Dibek@David serta tetamu kehormat lain.
 

oleh