News

 

Komuniti Dayak diajak ambil peluang, main peranan bangunkan Sarawak bersama: Uggah

Posted on 01 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Komuniti Dayak perlu mengambil peluang dan memainkan peranan penting membangunkan negeri ini bersama-sama kerajaan Sarawak, pada masa ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia termasuk mereka dari kalangan pelajar, petani, ahli perniagaan dan sebagainya.

"Pada masa ini saya berharap komuniti Dayak turut memainkan peranan mereka dan saya fikir ia perlu ditanya apa yang mereka boleh lakukan untuk bantu membangunkan Sarawak.

"Apa yang penting ialah komuniti Dayak itu sendiri yang mengambil bahagian untuk membangunkan Sarawak... jangan tunggu, sama ada pelajar, ahli perniagaan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Mengenai rumah terbuka, lebih 7,000 tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama memeriahkan majlis berkenaan.

Beliau menyatakan ucapan penghargaan kepada tetamu yang hadir untuk bertandang ke majlis tersebut.

Hadir menyerikan majlis rumah terbuka itu ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Turut memeriahkan majlis ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang.

Selain itu, hadir sama meriahkan majlis ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan tetamu yang lain.