KUCHING: Pertubuhan Melanau di Sarawak digesa menggunakan saluran komunikasi yang rasmi bagi mengukuhkan lagi jangkauan dan penyertaan dalam aktiviti-aktiviti anjurannya.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, ramai dalam kalangan komuniti Melanau khususnya di Kuching, masih tidak mengetahui program yang dianjurkan persatuan kerana komunikasi yang tidak berkesan.
“Ramai daripada mereka tidak mengetahui aktiviti dan inisiatif oleh pertubuhan Melanau.
“Untuk menangani isu ini, organisasi Melanau perlu memanfaatkan pelbagai platform komunikasi untuk meningkatkan penglibatan dan perkongsian maklumat.
“Saluran-saluran ini akan membantu organisasai mendekati lebih ramai orang dan menggerakkan masyarakat Melanau,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan dan Solat Tarawih 2025 di Wisma Melanau di sini semalam.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menyeru pemimpin korporat daripada masyarakat Melanau menyokong usaha ini, khususnya dalam pendidikan dan kebajikan.
Sementara itu beliau berkata penstrukturan semula Lembaga Amanah Kebajikan Masyarakat Melanau Sarawak (LAKKMS) bertujuan meningkatkan pendapatan melalui aktiviti berasaskan perniagaan bagi menyokong persatuan Melanau lain.
Beliau juga menekankan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 mengutamakan pembangunan infrastruktur, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar, yang merupakan elemen utama mengukuhkan kesalinghubungan dalam kalangan masyarakat Melanau di Sarawak.
“Dengan infrastruktur yang lebih baik, komunikasi dalam kalangan masyarakat Melanau, khususnya di kawasan pesisir pantai, akan menjadi lebih lancar.
“Ini akan mengukuhkan jati diri dan perpaduan kita walaupun terdapat perbezaan dialek,” katanya.
Beliau percaya dengan usaha kolektif dan sokongan yang betul, usaha untuk mengukuhkan komuniti Melanau dapat direalisasikan, di samping memupuk kerjasama dengan komuniti lain di Sarawak untuk masa depan yang lebih inklusif dan progresif.
Majlis anjuran bersama Persatuan Melanau Kuching (PMK) dan LAKKMS itu menyaksikan 28 anak anggota PMK berusia tujuh hingga 12 tahun menerima sumbangan wang sempena Ramadan dan tiga merupakan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).
Turut hadir Presiden PMK Faridah Osman dan tetamu lain.