News

 

Sarawak jadi 'Bateri Asian' apabila semua hab sumber tenaga siap 2035

Posted on 30 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

MIRI: Sarawak bakal menjadi 'Bateri Asian' pada masa depan apabila semua hab sumber tenaga siap sepenuhnya menjelang 2035 dan mampu mengeluarkan sumber tenaga sehingga 1,500MW (megawatt). 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, selepas membangunkan Loji Tenaga Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri dan Kuching yang masing-masing akan mengeluarkan tenaga 500MW, Sarawak akan membangunkan loji di Bintulu yang mampu menjana 1,500MW.

Beliau berkata, Sarawak akan membangunkan loji yang serupa di Bintulu, menerusi tiga fasa dengan setiap satu (fasa) menghasilkan sebanyak 500MW, menjadikannya 1,500MW. 

"Sebab itulah Sarawak akan menjadi 'Bateri Asia'. Kalau kita tidak ada (membekalkan tenaga), maka 'padamlah' mereka," katanya pada sidang media di sini hari ini, sambil menambah Sarawak akan membantu negara Asia dengan membekal dan mengeskport tenaga elektrik. 

"Ini akan memberi pendapatan kepada Sarawak. Ini adalah campuran teknologi dan juga visi kita untuk masa depan. 

"Tenaga kita adalah tenaga lestari, bermakna kita tidak akan mengeluarkan karbon, sebaliknya mengeluarkan gabungan hidrogen dengan stim (wap), dan dengan ini, hidrogen boleh ditingkatkan," tambahnya. 

Ketika ini, pengeluaran hidrogen dari hab tenaga adalah 30 peratus dan mungkin boleh naik kepada 50 hingga 70 peratus kerana teknologi penjanaan yang diguna pakai oleh Sarawak adalah teknologi baharu yang dibangunkan oleh Mitsubishi, Jepun, sekali gus menjadikan Sarawak yang pertama di rantau ini menggunakan teknologi penggabungan tenaga tersebut.  

"Kawasan kita (rantau Asia Tenggara) mungkin Sarawak yang pertama menggunakan gabungan kitaran (CCGT) ini.

"Indonesia belum lagi, Semenanjung (Malaysia) memang tidak ada, negara di atas utara iaitu Laos, Thailand mungkin belum. Kita yang pertama. 

"Jadi bekalan tenaga elektrik kita akan disebut sebagai 'low carbon footprint' (jejak karbon). Jadi tenaga kita ini adalah lestari," katanya lagi. 

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Timbalan Premier Datuk Amar Prof Sim Hui Kian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin serta Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo serta menteri-menteri kabinet negeri. 

Terdahulu, Abang Johari telah mengadakan lawatan untuk meninjau sendiri pelaksanaan projek infastruktur gas komuniti yang dilaksanakan oleh PETROS di kawasan perumahan Quadruplex Taman Ceria (QTC) di Permyjaya, di sini.