News

 

Adat ‘Chelap Dapur’ bertujuan jaga hubungan, jamin struktur: Chambai

Posted on 20 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Adat ‘Chelap Dapur’ bukan sekadar peraturan untuk menyalakan api di dapur sekurang-kurangnya sekali dalam 30 hari, tetapi mempunyai falsafah mendalam yang bertujuan menjaga hubungan pemilik bilik dengan rumah panjang serta memastikan struktur rumah panjang berada dalam keadaan baik.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Chambai Lindong (gambar) berkata, adat yang termaktub dalam Perkara 21 Adat Iban 1993 ini membawa maksud lebih besar dalam kehidupan masyarakat Iban. 

Chambai berkata, ia menggalakkan pemilik bilik pulang ke kampung secara berkala untuk memeriksa keadaan bilik mereka dan menjaga keselamatan rumah panjang secara keseluruhan.

“Adat ini memastikan bilik yang tidak dijaga tidak menjejaskan jiran.

"Jika bumbung bocor atau anjung rosak, pemiliknya perlu membaikinya untuk mengelakkan kemudaratan kepada orang lain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Namun Chambai mengakui bahawa gaya hidup masyarakat Iban yang semakin moden memerlukan adat ini disesuaikan dengan keadaan semasa.

Menurut beliau, ramai masyarakat Iban kini menetap jauh dari kampung, termasuk di bandar besar atau luar Sarawak, menjadikan keperluan menyalakan api di dapur setiap bulan sukar dipatuhi. 

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan untuk meminda adat ini kepada keperluan pemilik bilik pulang sekurang-kurangnya dua kali setahun, contohnya semasa Gawai Dayak dan hujung tahun.

“Kehadiran pemilik bilik penting bukan sahaja untuk memeriksa keadaan bilik tetapi juga untuk mengekalkan hubungan dengan komuniti di kampung,” tambah beliau.

Chambai menjelaskan, adat ini dicipta generasi terdahulu dengan falsafah yang jelas iaitu memastikan rumah panjang kekal terurus, menjamin keselamatan komuniti dan mengekalkan semangat persaudaraan dalam kalangan penghuni.
 
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai dalam laporan kelmarin berkata, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) telah memulakan pemikiran dan pendekatan baharu dalam penyelidikan serta pengajaran Adat di negeri ini.

Sikie berkata, ini kerana pemahaman mengenai Adat atau berkaitan Adat dalam kalangan komuniti semakin menurun.

"Ini adalah untuk menyesuai dan mengadaptasikan Adat seiring dengan perubahan situasi sosial dan menjadikan Adat relevan serta hidup semula.

"Pendekatan baharu adalah untuk mengkaji semula pemahaman dan tafsiran tradisional lama tentang Adat, kemudian mentafsir semula serta menulis Adat dengan cara yang sama dengan prinsip perundangan Malaysia dan Inggeris, juga teori sosiologi undang-undang," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sikie berkata, seboleh-bolehnya Adat ditulis dalam format dan bahasa yang sah.

Sebagai contoh katanya, Adat Iban iaitu Chelap Dapur merupakan sanksi kerohanian yang memerlukan tempat memasak hendaklah digunakan untuk memasak sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Kegagalan berbuat demikian akan menjadi satu kesalahan dan boleh didenda dan juga untuk melakukan ritual rohani, katanya.